SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG BERSAMA USTAZ ISMAIL
© Ustaz Ismail Haji Awang

BICARA SEMASA : " Salahkan Siapa? ".

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
.
Saudaraku,
.
Sehangat-hangat api, rasanya hangat lagi bisikan-bisikan syaitan yang kian meracuni diri umat islam. Kegeringan ini bukanlah fantasi di ambang mimpi, tetapi sebuah realiti ranjang duniawi yang pahit ditelan pasti.
.
"Tidak segan meminum arak" dan "ditangkap membeli nombor ekor selepas solat jumaat di masjid dengan masih berpakaian sembahyang jumaat" dan pelbagai lagi. Begitulah maudoq yang menghiasi dada-dada akhbar di negara ini. Sebuah kronologi jijik untuk dihayati oleh orang yang bergelar mukmin. Sedihnya melihat sebuah episod hipokrit yang dibintangi oleh insan-insan munafiq yang mengaku berpenghulukan Nabi Muhammad SAW.
.
Tidak perlu kita memeningkan fikiran dan menghujani akal dengan 1001 persoalan, inilah sinopsis ngeri lagi menjijikkan untuk disusuri, seandainya dunia ini telah dicorak dan diwarnai oleh tangan-tangan kejahilan. Bilamana Al-Quran dan As-Sunnah dibelakangkan daripada kehidupan yang bakal terhidang, pastilah santapan-santapan kebinasaan sebuah kehidupan. Semuanya telah disuratkan di dalam Al-quran, sebagaimana firman Allah SWT :
.
"Barangsiapa yang berpaling daripada Al-Quran, maka sesungguhnya dia akan menanggung beban yang amat berat di hari kiamat nanti".
.
Mungkin inilah suatu petanda akhir zaman, bilamana semuanya disanggah dengan kedangkalan akal. Bebanan yang dijanjikan awal-awal lagi telah dihadiahkan sama ada sebagai inzar (peringatan) atau pun petanda muqaddimah sebuah kehancuran. Lihatlah riak tarian kehidupan yang kian pincang dan gongcang, impak daripada menjuzu-juzukan Al-Quran.
.
Siapa yang akan dipersalahkan seandainya gerhana mengakhiri perjalanan alaf ini? Salahkanlah diri kita sendiri!!! Sejauh manakah telah kita peruntukkan ilmu dan kudrat yang kita miliki di dalam mendaulatkan "Kalamullah", sejauh mata memandang atau cuma sekangkang kera?
.
Lima belas tahun yang lampau inilah wajah bumi Bosnia dan Ambon, yang menatijahkan pengalaman yang cukup pahit untuk ditelan. Usahlah kita menangis dan menitiskan air mata darah suatu hari nanti, seandainya hari lepas tidak kita jadikan iktibar hari ini, dan hari ini tidak kita jadikan persediaan untuk esok.
.
Insaflah... hari itu pasti tiba...!!!